Ya Allah! Konspirasi Siapa Sebenarnya Ni?
- Menurut Presiden SIB Sabah, Pdt. Jerry Dusing, istilah “Allah” telah digunakan dalam ibadah gereja SIB dan Alkitab semenjak penubuhannya pada zaman pra-kemerdekaan lagi oleh jemaah Bahasa Malaysia yang rata-ratanya kaum pribumi di Sabah dan juga dipengaruhi oleh amalan-amalan dan kosa kata agama gereja di Indonesia. Penggunaan Bahasa Malaysia adalah lebih meluas lagi pada masa kini oleh rata-rata muda-mudi yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda dan pengantara. Menurut statistik, penganut agama Kristian di negara ini adalah kira-kira 10% dan hampir 60% daripada mereka menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda mereka.
- Menurutnya lagi, penggunaan istilah “Allah” untuk mewakili Tuhan oleh orang Kristian seawal zaman pra-Islam lagi dan diteruskan ke zaman moden di negara-negara yang mempunyai pengaruh bahasa Arab, untuk menerangkan konsep ketuhanan monotheistik agama Abrahamik. Bidang etymologi (pengkajian perkataan) mencadangkan bahawa “Allah” bermaksud “Tuhan yang satu” dan mempunyai persamaan dengan “Elaha” dalam bahasa Ibrani yang bermaksud Tuhan.
- Menurut Bob Kee dalam blognya, beliau berpendapat bahawa penggunaan istilah “Allah” dalam penterjemahan Alkitab mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Dalam analisa sejarahnya, istilah-istilah seperti יהוה (YHWH), אֲדֹנָי (Adonai), אל (El), אלהים (Elohim) dan nama-nama Tuhan dalam bahasa Ibrani sukar diterjemahkan khususnya dalam frasa gabungan אֲדֹנָי יהוה (Adonai YHWH) yang banyak terdapat dalam kitab Perjanjian Lama.
Seperti dalam Bahasa Inggeris, di mana kata “Lord” dan “God” digunakan, teks Injil Matius pertama yang diterjemahkan ke dalam bahasa nusantara oleh Albert Cornelisson Ruyl pada 1629, menggunakan “Allah”. Istilah ini terus digunakan dalam abad-abad berikutnya dimana frasa gabungan Adonai YHWH diterjemah sebagai “TUHAN Allah” dan Elohim sebagai “Allah”.
Oleh yang demikian, adalah penting agar kita dimaklumkan bahawa penggunaan istilah “Allah” bukanlah amalan yang baru, tidak langsung mempunyai sebarang agenda. Malah, penggunaan istilah “Allah” adalah perkembangan sihat ke arah dialog antara agama-agama Abrahamik.
- Kata “Allah”, di samping kosa kata Arab dan Sanskrit yang mempunyai konsep-konsep agama yang saling berkait seperti syurga, neraka, dosa, doa, sengsara, dsbg tidak ekslusif kepada satu-satu agama. Bahasa Malaysia sebagai bahasa Nusantara dan berpinjam dari pelbagai budaya mampu menguraikan konsep-konsep sains, teknologi dan tidak asing lagi, konsep-konsep agama secara berkesan tidak mengira ajaran Islam, Buddha, Hindu mahupun Kristian. Menteri-menteri Kabinet, seperti Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Zainuddin Maidin dalam kenyataan-kenyataan lepas menyatakan bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa untuk semua.
- Di samping itu, Dr. Ng Kam Weng berpendapat bahawa gereja mempunyai hak untuk mentadbir soal dalamannya adalam peruntukan Artikel 11 (3) selagi tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan mengamalkan nilai hormat-menghormati dalam suasana masyarakat majmuk di negara ini. Rakyat Malaysia yang berbahasa ibunda Bahasa Malaysia mempunyai hak dan keperluan untuk mendapat bahan-bahan agama dalam bahasa dan budaya mereka sendiri. Dengan kawalselia KDN yang efisien dan bijaksana, serta hubungan telus, ikhlas dan akrab Gereja-Kerajaan, penulisan-penulisan bagi hal-ehwal dalaman umat Kristian sudah tentu akan diterbitkan dengan bertanggungjawab dan bijaksana.
- Daripada membazir masa dan tenaga untuk berbalah tentang isu-isu penggunaan kata, adalah lebih bermanfaat agar kita memupuk persefahaman dan menyelesaikan masalah dengan sikap yang terbuka dan progresif. Adalah lebih wajar kita memandang kepada isu-isu yang lebih serius yang dituntut oleh agama seperti menjaga kebajikan anak-anak yang kurang bernasib baik, fakir miskin dan tertindas, memelihara alam sekitar, menegakkan keadilan sosial dan integriti di samping berjiran (dalam ertikata sebenarnya) antara agama untuk menghayati dan menyayangi satu sama lain dengan lebih akrab lagi.
- Bagi masyarakat Kristian di Semenanjung Malaysia yang beribadah dalam bahasa Inggeris dan ibunda masing-masing, mungkinkah ini satu renungan untuk kita membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian dan ibadah kita? Sejauh mana kita memiliki, membaca dan menghayati Alkitab dalam Bahasa Malaysia? Emosi kita mempertahankan saudara-saudari kita di Malaysia Timur perlulah datang bersama usaha untuk bersama-sama mereka untuk membentuk jatidiri Gereja Malaysia yang bersatu termasuklah mengambil perhatian yang lebih serius terhadap penggunaan bahasa tersebut dalam gereja-gereja tempatan.
Pada pendapat saya, agenda sebenar yang terselit dibelakang usaha untuk mengapi-apikan sentimen rakyat beragama Islam di didalam isu ini adalah untuk terus memecah-belahkan rakyat berdasarkan etnik dan agama.
Hujah-hujah yang diguna-pakai oleh beberapa aktivis yang menentang keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini seperti yang dilihat di laman kumpulan Facebook ini seolah-olah tidak mengambil kira fakta sejarah, linguistik ataupun antropologi. Sebaliknya yang digembar-gemburkan adalah penyelewengan fakta serta lemparan tohmahan-tohmahan yang menghasut yang secara langsung menggugat keamanan serta keselamatan negara.
Usaha-usaha untuk menyah-politikkan isu ini cuba dihalang oleh pihak-pihak tertentu. Ini mungkin kerana potensi isu ini untuk memulakan proses persefamahaman diantara rakyat berbilang etnik dan agama di negara kita ini mengancam untuk membantutkan agenda pemecah-belahan untuk tujuan sempit politik yang cuba dipermainkan pihak-pihak tersebut.
Namun demikian, saya yakin bahawa rakyat Malaysia telah semakin matang dan tidak mudah termakan tohmahan-tohmahan serta hasutan yang terang-terang berbau politik ini.
Oleh itu saya menyokong dan turut menyarankan pendapat rakan-rakan saya di blog Cahaya Nusantara bahawa ia
adalah lebih bermanfaat agar kita memupuk persefahaman dan menyelesaikan masalah dengan sikap yang terbuka dan progresif. Adalah lebih wajar kita memandang kepada isu-isu yang lebih serius yang dituntut oleh agama seperti menjaga kebajikan anak-anak yang kurang bernasib baik, fakir miskin dan tertindas, memelihara alam sekitar, menegakkan keadilan sosial dan integriti di samping berjiran (dalam ertikata sebenarnya) antara agama untuk menghayati dan menyayangi satu sama lain dengan lebih akrab lagi.
Bagi saya, saya akan terus cuba berpegang kepada firman Allah yang menyuruh umatnya untuk:
Kasihilah musuhmu dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu .. (Matius 5:44)


