I finally made it to the Raja Tun Uda Library around 4.00 pm yesterday after getting a little lost in Shah Alam for the launching of the two books written by the late Rustam Sani; The Social Roots of the Malay Left and Failed Nation: Concerns of a Malaysian Nationalist. The event also doubled as a memorial for the late Rustam Sani who died three days before his two latest books were due to be launched.

The seminar hall was packed to the brim with only standing room available and people overflowing into the elevator lobby. A conservative estimate of the attendance put the numbers at a minimum of 500 people, representing a vast array of ethniticities. Some familiar faces that I saw included A. Samad Said (National Literary Laureate), quite a few of the new YBs (including R. Sivarasa, Gan Pei Nei, Elizabeth Wong), Dr Sanusi Osman, Josh Hong, Ivy Josiah and much more.
Friends and family members delivered eulogies to the late Rustam Sani before Anwar Ibrahim was invited to the podium to launch the two books. A written eulogy from Dr KS Jomo was also made available to the guests. The text of Dr Syed Husin Ali's eulogy is as follows :
Saya amat bersyukur kerana mempunyai hubungan akrab dengan Allah Yarham (AY) Rustam sebagai guru, teman seperjuangan dan sahabat.Samasa menuntut di UM beliau mengikuti beberapa kursus antropologi dan sosiologi yang saya beri. Saya tertarik dengan kecerdasan fikiran, kepetahan bercakap dan kecekapan menulis beliau. Dia bukanlah seorang yang cergas sangat dalam gerakan pelajar waktu itu, tetapi sering mengikuti di tengah-tengahnnya untuk menyatakan sokongan.
Beliau berminat penuh apabila para siswa serta pensyarah bergerak menyokong peristiwa-peristiwa seperti ratusan petani membuka tanah bersama AY Hamid Tuah di Telok Gong, puluhan keluarga peneroka bandar Tasek Utara berkhemah di hadapan Pejabat Kerajaan Johor membantah rumah mereka diroboh, dan ribuan orang kampung berdemonstrasi kelaparan akibat kemerosotan harga getah di Baling.
AY Rustam jarang di barisan hadapan dalam demonstrasi ataupun memberi pidato, tetapi beliau tidak ketinggalan menjeritkan kemarahannya terhadap kezaliman pihak pemerintah ke atas rakyat miskin melalui sajak serta tulisan lainnya. Di sinilah kekuatannya.
AY Rustam mewarisi tradisi kegagahan berpolitik, kepetahan bercakap dan kerajinan menulis dari bapanya. Akan tetapi, jikalau AY Ahmad Boestamam lebih terkenal sebagai pemimpin serta aktivis politik dan seorang penulis gigih, sebaliknya AY Rustam pula lebih menonjol sebagai penulis (samada sajak atau ulasan politik) daripada seorang tokoh politik. Namun, semasa di universiti lagi beliau turut dalam Kelab Sosialis UM dan ranting Partai Rakyat Lembah Pantai (yang terdiri dari siswa) waktu itu.
Lama beliau menyepi dari politik selepas tamat belajar. Beliau muncul secara kebetulan dengan mendadak dalam bidang politik nasional apabila dipilih sebagai Timbalan Presiden PRM dalam kongres parti pada tahun 2001. Waktu itu AY A Razak Ahmad, yang lama menyandang jawatan tersebut meminta berundur oleh sebab kesihatannya. Bagi pihak parti saya meminta AY Rustam menggantikannya. Saya gembira sebab, di luar jangkaan dan tanpa banyak soalan, beliau menerima permintaan itu.
AY Rustam menjalankan tugas-tugasnya dengan sepenuh hati serta dedikasi. Ia melihat peranannya sebagai suatu tanggungjawab meneruskan perjuangan bapanya untuk kebebasan bangsa dan kewajipan untuk membela nasib rakyat jelata. Ketajaman intelek serta analisisnya sangat membantu. Lebih-lebih lagi apabila beliau ditugaskan juga sebagai editor Suara Rakyat.
Tidak lama selepas disumbat ke penjara Sungai Buluh Anwar Ibrahim menghubungi saya dengan saranan agar PRM bergabung tenaga dengan PKN. Jawatankuasa Pusat parti membincangkan perkara ini dengan mendalam dari segala segi dan akhirnya menerima saranan itu. Pada peringkat awal perbincangan menuju pembentukan PKR, AY Rustam aktif sekali menyiapkan kertas-kertas, menyertai perbincangan dan melaksana keputusan.
Orang sering lupa beliau menyertai MPT Peralihan PKR dan menyandang jawatan Ketua Penerangannya yang pertama. Tetapi beliau terpaksa melepaskannya selepas pelancaran rasmi PKR pada tahun 2003 kerana dua sebab. Pertama kerana kesihatan; beliau mengidap sejenis penyakit saraf yang mengakibatkan kesakitan amat sangat dan oleh itu susah hendak keluar rumah. Kedua, dalam keadaan begitu beliau ingin cergas bermesra semula dengan cinta pertama (sudah tentu selepas isteri dan anaknya), iaitu menulis. Inilah tumpuannya sehingga ke akhir hayat.
Saya mulai mengenali AY Rustam melalui bapanya. Selepas AY Ahmad Boestamam ditahan sebelum Konfrontasi Indonesia atas tuduhan menyokong pemberontakan rakyat terhadap penjajah British di Brunai, saya sering pergi ke rumahnya bersama AY Usman Awang untuk membawa derma atau bantuan lain. Kami selalu berjumpa dan berbual-bual tentang keluarga serta keadaan AY Boestamam dengan isteri beliau yang kami panggil Kak Betah. Jarang benar kami berjumpa dengan anak mereka yang masa itu bersekolah.
Selepas AY Boestamam bebas saya melawatnya beberapa kali bersama Dr Rajakumar. Pada salah satu lawatan, AY Rustam bersama ayahnya. Beliau sudah dewasa, jikalau tidak silap sudah di kelas pra-universiti. Kami agak terperanjat apabila AY Boestamam memberitahu anak kesayangannya meminta belikan sebuah skuter baru kerana AY Rustam mengadu yang lama sudah keras tempat duduknya. Kami tidak tahu sama ada hendak marah atau ketawa. Namun kami setuju membelikannya, tetapi yang “second hand” saja.
Nasib juga itulah kali pertama dan terakhir AY Rustam menghendaki kerusi lembut. Beliau memasuki UM dan selepas itu belajar di universiti Kent, Yale dan Upsala. Tempoh di antara belajar itu beliau berpindah-pindah tempat kerja - sebagai Pendaftar UM, editor di OUP, pensyarah UKM, felo ISIS dan kolumnis akhbar. Beliau terus menulis. Semasa di ISIS kabarnya beliau selalu juga menulis atau membantu menyiapkan kertas untuk kerajaan dan ucapan untuk menteri, bahkan perdana menteri waktu itu juga.
Khabarnya beliau berkali-kali ditawarkan memasuki parti politik pemerintah. Semasa di ISIS beliau berpeluang memilih untuk menduduki kerusi empuk dalam kerajaan. Akan tetapi beliau menolak, Hatinya masih berat kepada rakyat. Beliau mulai kurang senang dengan tugas serta suasana kerja ISIS dan akhirnya meninggalkannya. Tidak lama selepas itulah, ketika gerakan Reformasi memuncak, saya meminta beliau menggantikan AY Razak.
Kerusi di pejabat Parti keras belaka, tetapi AY Rustam tidak pernah merungut dan saya lihat beliau sentiasa gembira menjalankan tugas yang dianggapnya sebagai perjuangan tulen serta ikhlas untuk rakyat demi keadilan.
Setelah AY Rustam berhenti menjadi Ketua Penerangan dan tidak lagi dalam MPT, tidak bererti beliau terus berputus arang dengan PKR. Bahkan beliau sentiasa bersedia menolong apabila diminta, asalkan boleh dilakukannya dari rumah. Berkali-kali beliau membantu menulis ucapan untuk pemimpin parti (bukan menteri) dan menulis kertas untuk parti (bukan kerajaan). Tugasnya yang boleh dikatakan terakhir ialah membantu serta memandu beberapa orang anak muda yang dipertanggungjawab menyiapkan manifesto parti bagi PRU12.
Saya kehilangan seorang sahabat baik yang boleh senyum dan ketawa selalu walaupun dalam keadaan paling mendesak. Saya hormati beliau sebagai pejuang yang setia kepada kepentingan rakyat, seorang intelektual yang komited kepada idea progresif, seorang penganalisis politik yang tajam serta objektif, seorang tokoh yang berjiwa nasionalis mendalam dan pada masa sama mempunyai pandangan internasionalis yang luas.
Beliau seperti pokok ru di tepi pantai. Pucuknya menuju tinggi ke langit luas, tetapi akarnya teguh bertunjang di bumi nyata. Apabila ribut bergelora, ru bergoyang, tetapi tetap berdiri tidak tumbang. Insha Allah AY Rustam A Sani akan dihargai sebagai warisan bangsa dan negara yang tidak hilang dan tetap terbilang.
Semoga Allah mencucuri Rahmat, mengampuni dosa dan meletakkan Allah Yarham
di jannatunnaim. Alfatihah.Shah Alam
26 April 2008
